1 Oct 2011

Penggunaan Nama Islam



Tarikh Keputusan: 
 13 Oct, 2001
Huraian Tajuk/Isu: 
 
Isu 1 : Penggunaan nama atau yang dikaitkan dengan Islam dalam nama sesuatu Pertubuhan boleh mengelirukan akan Agama Islam dan ajarannya.
Isu 2 : Penambahan syarat kepada pengiktirafan seseorang sebagai orang Islam.
Isu 3 : Dakwaan bahawa pengakuan dan sokongan kepada pihak tertentu diperlukan sebelum seorang Islam dilayakkan ke syurga dan kenyataan bahawa orang tertentu akan ditempatkan di neraka.
 
Keputusan: 
Fatwa 1:

Tiada halangan untuk menggunakan perkataan Islam oleh mana-mana pertubuhan malah digalakkan dengan disiplin ilmu, iman dan ihsan. Mana-mana orang atau pertubuhan yang menggunakan perkataan Islam untuk tujuan mengelirukan dan menyeleweng adalah salah dan boleh diambil tindakan berdasarkan peruntukan undang-undang yang sedia ada.
Fatwa 2:

Seseorang itu sudah diiktiraf sebagai orang Islam jika menepati Rukun Iman dan Rukun Islam. Dari itu adalah salah dan tidak berhak bagi mana-mana pihak menambah apa-apa syarat bagi menentukan Keislaman seseorang itu. Fahaman sedemikian adalah salah di sisi Islam. Oleh itu sesiapa yang mengamal, mengajar, menyeru, menyebar dan lain-lain cara sebaran akan fahaman tersebut maka perbuatan sedemikian termasuk dalam perbuatan menyebar ajaran salah atau menyeleweng.
Fatwa 3:

Ketentuan syurga atau neraka adalah hak mutlak Allah s.w.t. Dari itu dakwaan bahawa pengakuan dan sokongan kepada orang atau pertubuhan tertentu diperlukan sebelum seorang Islam dilayakkan ke syurga atau ke neraka adalah salah menurut ajaran Islam. Oleh itu sesiapa yang mengamal, mengajar, menyeru, menyebar dan lain-lain cara sebaran akan fahaman tersebut maka perbuatan sedemikian termasuk dalam perbuatan menyebar ajaran salah atau menyeleweng.

Status Penwartaan: 
 Diwartakan
Tarikh Diwartakan: 
 25 Oct, 2001
Nombor Rujukan: 
 [PU/NS (JB) 5/2001; JMKNNS.
Akta/Enakmen: 
 N.S.P.U. 20.

Wang simpanan KWSP dan PERKESO



Tarikh Keputusan: 
 12 Jan, 2002
Keputusan: 
1. Bahawa wang deposit di dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Wang Simpanan Pertubuhan Kebajikan Sosial (PERKESO), dan seumpamanya atau mana-mana harta alih atau harta tak alih yang disyaratkan diletakkan penama hendaklah menjadi harta pusaka.
2. Penama-penama kepada harta pusaka tersebut hendaklah membahagikan harta peninggalan si mati kepada waris-waris mengikut hukum faraid.
3. Mana-mana pihak atau agensi yang bertanggungjawab menguruskan harta pusaka tersebut hendaklah terikat dengan pembahagian yang ditetapkan melainkan jika terdapat persetujuan sebaliknya daripada waris-waris yang berkenaan.
Status Penwartaan: 
 Diwartakan
Tarikh Diwartakan: 
 12 Jan, 2002
Nombor Rujukan: 
 [JMKNNS 209(01) 914/1; PU/ NS(JB)5/2001]
Akta/Enakmen: 
 N.S.P.U. 3