Apa Itu fatwa?


Definisi Fatwa
Pada bahasa ia diambil daripada afta-ifta'an yang memberi maksud menjelas dan menghuraikan hukum permasalahan.
Dari Segi Istilah
Pada istilahnya pula, fatwa mempunyai pelbagai definisi antaranya:
  1. Fatwa adalah sebagai jawapan yang dibuat oleh mufti pada perkara yang berlaku apabila diajukan soalan kepadanya.
     
  2. Fatwa ialah mengkhabarkan hukum Allah SWT sama ada pada yang mesti atau harus.

Peruntukan Mengenai Fatwa Dalam Undang-Undang:

Di dalam Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam Negeri Sembilan 2003 peruntukan mengenai fatwa dijelaskan di bawah Seksyen 49 iaitu:

(1) Sebelum Jawatankuasa Fatwa membuat sesuatu fatwa, Mufti boleh menyebabkan apa-apa kajian atau penyelidikan dijalankan sebagaimana yang diarahkan olehnya dan suatu kertas kerja disediakan.

(2) Apabila Jawatankuasa bercadang hendak membuat fatwa, Mufti hendaklah memanggil suatu mesyuarat Jawatankuasa Fatwa bagi maksud membincangkan fatwa yang dicadangkan itu.

(3) Selepas fatwa disediakan oleh Jawatankuasa Fatwa, Mufti hendaklah, bagi pihak dan atas nama Jawatankuasa Fatwa, memaklumkan fatwa yang telah disediakan itu kepada Majlis.

(4) Jawatankuasa Fatwa hendaklah membuat syor kepada Yang di-Pertuan Besar untuk mendapatkan perkenannya bagi penyiaran fatwa itu dalam Warta.

(5) Apabila fatwa itu telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Besar, Jawatankuasa fatwa hendaklah memaklumkan Kerajaan Negeri tentang fatwa itu dan sesudah itu hendaklah menyebabkan fatwa itu disiarkan dalam Warta.

(6) Sesuatu fatwa yang disiarkan dalam Warta hendaklah disertai dengan pernyataan bahawa fatwa itu dibuat di bawah seksyen ini.

(7) Sesuatu fatwa hendaklah disiarkan dalam bahasa kebangsaan dalam tulisan rumi, tetapi teks fatwa itu dalam tulisan jawi boleh juga disiarkan.

(8) Apa-apa pernyataan yang dibuat oleh Jawatankuasa Fatwa tidak boleh dikira suatu fatwa melainkan jika pernyataan itu disiarkan dalam Warta mengikut subseksyen (5).