Utama



Latar Belakang

Bahagian Pengurusan Fatwa pada awalnya ditubuhkan secara pentadbiran pada 2 Januari 2009 dengan nama Bahagian Pengurusan Fatwa dan Pembangunan Ijtihad. Pada 15 Jun 2009 Jakim telah memperolehi waran perjawatan Cadangan Penjenamaan Semula Jakim Fasa 1 berkuatkuasa 1 Jun 2009 dengan rasminya wujud bahagian ini dengan nama Bahagian Pengurusan Fatwa.
Bahagian Pengurusan Fatwa diwujudkan antara lain tugas utamanya ialah menjadi urus setia kepada Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) yang telah ditubuhkan pada awal tahun 1970 di bawah Perkara 11 Peraturan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI). Jawatankuasa ini merupakan badan yang berperanan untuk membincang dan memberikan pandangan berkaitan hukum hakam di peringkat Kebangsaan. Sejak penubuhannya, jawatankuasa ini diurus setiakan oleh JAKIM melalui Cawangan Dasar, Bahagian Keurusetiaan dan Perhubungan Antarabangsa (sekarang ini dikenali Bahagian Perhubungan).
Mesyuarat Pre-Council Majlis Raja-Raja pada 1 Julai 2008 dan Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ke-214 telah bersetuju supaya fungsi Jawatankuasa Fatwa MKI ini diperkukuhkan dari aspek pengstrukturannya. Oleh itu Mesyuarat Pasca-Kabinet Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 17 September 2008, telah bersetuju supaya urus setia kepada Jawatankuasa Fatwa MKI dinaik taraf dan diasingkan menjadi satu bahagian baru di JAKIM iaitu Bahagian Pengurusan Fatwa.

VISI
Berazam menjadi pusat rujukan fatwa yang berwibawa dan berintegriti di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

MISI
Memartabatkan fatwa di Malaysia melalui perancangan, penyelidikan, pengurusan dan penyelarasan fatwa dalam pelbagai bidang ke arah mengembangkan proses ijtihad jama’i dalam penentuan hukum.

OBJEKTIF
  1. Mewujudkan sebuah institusi yang bertanggungjawab dan berperanan sepenuhnya dalam pengurusan dan penyelarasan fatwa di peringkat negara dan antarabangsa;
  2. Menjadi pusat rujukan dan pengurusan maklumat utama berkaitan fatwa dan ijtihad di dalam dan luar negara dan diperolehi dengan mudah menggunakan teknologi terkini;
  3. Menjadi pusat penyelidikan yang berwibawa berkaitan isu-isu kefatwaan dan ijtihad.
  4. Menawarkan perkhidmatan kepakaran kepada masyarakat dan penyediaan input secara profesional kepada masyarakat, agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan di dalam dan luar negara;
  5. Mewujudkan perkongsian pintar menerusi penyelidikan, penulisan, pertukaran maklumat dan dialog intelek dengan tokoh-tokoh ilmuan dari institusi fatwa dalam dan luar negara;
  6. Memberi kesedaran dan pendidikan kepada masyarakat tentang pelbagai dimensi fatwa serta pelaksanaannya dalam masyarakat majmuk.